Wednesday, September 2, 2009

‘Sidang DUN’ Dalam Hotel....

IPOH: Hari ini genap enam bulan tarikh bersejarah dalam negara apabila Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di bawah pokok hujan-hujan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.Di bawah pokok itulah 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) berdiri untuk mengadakan sidang tergempar DUN selepas usaha mereka memasuki bangunan SUK menempatkan DUN gagal sambil disaksikan orang ramai.

Semalam, sejarah sama hampir berulang, cuma yang membezakan kali ini ada kemajuan kerana lokasi mereka mengadakan mesyuarat lebih menyerupai persidangan dewan iaitu di Hotel Heritage di sini. Persidangan itu yang dipengerusikan Adun Tronoh yang juga bekas Speaker, S Sivakumar, berlangsung dua jam mulai jam 11.45 pagi dan dihadiri semua 24 Adun PR kecuali tiga Adun yang ditahan polis kira-kira dua jam sebelum mesyuarat itu diadakan kerana mengingkari arahan polis apabila cuba merempuh masuk Bangunan SUK.

Tiga Adun terbabit ialah Adun Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Ko Ham; Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai dan Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh. Sementara Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah tidak dapat hadir kerana mengerjakan umrah.

Ibarat sidang DUN sebenar, persidangan semalam turut menyediakan susunan tempat duduk Adun Barisan Nasional (BN) di sebelah kiri ‘Speaker’ manakala Adun DAP, Pas dan PKR duduk di ‘pihak kerajaan yang memerintah’ di kanan ‘Speaker’.Persidangan berkenaan juga meluluskan tiga usul iaitu mengesahkan laporan ‘Jawatankuasa Hak dan Kebebasan’ bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009, pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa untuk penggal baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap.

Satu lagi usul diluluskan ialah usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan menghalang anggota dewan PR memasuki Bangunan SUK bagi mengadakan persidangan itu.Ironinya, pada sidang tergempar di bawah pokok 3 Mac lalu, persidangan turut meluluskan tiga usul iaitu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan usul terakhir mengesahkan keputusan bekas Speaker, Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam anggota Exconya daripada menghadiri persidangan dewan.

Dengan perkembangan terbaru semalam, membuktikan PR enggan berputus asa dan menganggap mereka kekal kerajaan negeri yang sah biarpun Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah memberi perkenan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru selepas BN mendapat majoriti kerusi untuk mentabdir kerajaan negeri iaitu 31 kerusi berbanding PR hanya 28 kerusi.

Mengulas insiden kekecohan terbaru yang cuba dicetuskan Adun PR dan penyokong mereka di hadapan Bangunan SUK pagi semalam sebelum ‘persidangan dewan’ berkenaan diadakan di hotel terbabit, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis menahan enam lelaki termasuk tiga Adun PR.“Enam lelaki itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi (semalam) kerana berhimpun secara haram dan tidak mengendahkan amaran Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang beberapa kali meminta mereka bersurai.“Semuanya ditahan bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis. Selain itu, polis turut menahan seorang jurugambar media cetak di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, seorang Adun yang ditahan juga sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan pesakit luar selepas cedera ringan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba melawan daripada ditahan. Semua tujuh yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 1 Oktober.

Wednesday, August 26, 2009

HORMATI HUKUMAN SEBAT KE ATAS KARTIKA

KARTIKA Sari Dewi Shukarnor, 32, model sambilan yang dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan atas kesalahan minum arak di khalayak ramai telah menggemparkan banyak pihak termasuk media asing. Hukuman itu dilihat oleh media asing seolah-olah undang-undang syariah yang diamalkan di Malaysia menindas kaum wanita.

Kartika menjadi 'srikandi' dalam kes ini kerana menerima apa sahaja hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya tanpa banyak bicara. Mungkin telah insaf dengan kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang wanita Muslim. Bagaimanapun, keputusannya untuk reda melalui hukuman sebatan itu pada bulan Ramadan telah mendapat simpati daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang meminta hukuman itu dikaji semula.

Sejurus kemudian Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Yunus telah memberi jaminan kepada Peguam Negara untuk menyemak semula keputusan mahkamah terhadap model sambilan itu. Bagaimanapun, dalam perkara ini Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) membuat pandangan tersendiri daripada sudut perundangan terhadap senario kekecohan itu.

Menurut persatuan itu, membuat komen terhadap hukuman sebat yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan ke atas Kartika kerana minum arak di tempat awam boleh dianggap sebagai menghina mahkamah. Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM), Musa Awang berkata, orang Islam sepatutnya mempertahankan martabat Mahkamah Syariah dan bukan memberi komen atau mempersoalkan hukuman yang diputuskan.

Menurutnya, memberi komen terhadap hukuman itu hanya akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti hakim di mahkamah berkenaan. "Jika mahkamah sivil membuat perintah atau penghakiman seumpama itu tidak pula ada orang yang hendak memberi komen," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. Beliau menjelaskan demikian berikutan penangguhan hukuman sebat ke atas Kartika di atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Abdul Rahman Yunus, Isnin lalu. Abdul Rahman mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menangguhkan hukuman bagi menghormati Ramadan.

Berhubung penangguhan hukuman itu Musa berpendapat, sepatutnya permohonan menangguhkan hukuman ke atas Kartika kerana menghormati Ramadan dilakukan menerusi mahkamah yang mendengar hujah pihak pendakwa dan Kartika sendiri. PPSM hanya berharap agar perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan keputusan mahkamah tidak boleh berubahubah kerana yang menjadi 'mangsa' dalam kes ini ialah Kartika. Dalam pada itu Musa berkata, Mahkamah Syariah adalah di bawah kuasa Sultan serta kerajaan negeri dan 'orang luar' tidak boleh campur tangan dalam kes berkaitan perundangan tersebut.

Sementara itu, Ketua Wanita Jamaah Islah Malaysia (JIM) Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj berkata, Kartika rela disebat dan seterusnya bertaubat. Maka sangat wajar hukuman itu dilaksanakan selepas Ramadan. Menurutnya, sebatan oleh Mahkamah Syariah ke atas pesalah tidak sama seperti yang dikenakan oleh mahkamah sivil. "Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah untuk menyebat Kartika telah disensasikan oleh beberapa pihak kerana ia dikenakan terhadap seorang wanita," katanya. Menurutnya, hukuman itu dilaksanakan untuk memberi pengajaran ke atas Kartika supaya tidak melanggar undang-undang dan mengetahui bahawa minum arak itu adalah haram dalam Islam. Harlina seterusnya mengajak semua pihak supaya memberi penjelasan dan pendedahan mengenai perkara ini secara jelas kepada masyarakat bagi mengelakkan hukuman sebat itu tidak dilihat sebagai penindasan terhadap wanita Islam.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad pula berpendapat, hukuman itu tidak wajar ditangguh atas alasan menghormati Ramadan kerana ia boleh dilakukan di sebelah malam. Katanya, jika Ramadan menjadi alasan hukuman ke atas Kartika ditangguh, maka semua corak hukuman ke atas pesalah juga perlu ditangguhkan sepanjang bulan ini. Masalahnya ujar Nakhaie, masih ramai orang Islam yang meragui keadilan agama itu dan bimbang syariat hukum Islam itu dilaksanakan di negara ini.

Menurutnya, anggapan itu masih menebal di kalangan sesetengah orang Islam akibat warisan pemikiran penjajah. Ujarnya, jika Mahkamah Sivil yang menjatuhkan hukuman yang sama ke atas pesalah di bulan Ramadan, golongan berkenaan hanya berdiam diri tanda menghormati keputusan itu.
~ utusan malaysia, 27 ogos 2009 ~

Tuesday, August 25, 2009

LAGI KORBAN H1N1....

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi korban terbaru influenza A(H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 70 orang.Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, kanak-kanak itu mendapat rawatan awal pada 12 Ogos di hospital kerana demam sawan serta batuk selama dua hari.Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan kanak-kanak malang itu semakin tenat pada 13 Ogos sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan rawatan Tamiflu dimulakan.“Hasil ujian makmal mendapati kes positif influenza A(H1N1) pada 17 Ogos 2009.

“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada 18 Ogos 2009 disebabkan ‘Encephalitis with Cerebral Odema and Multiorgan Failure’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Selain itu, sejumlah 52 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 162 pesakit ILI sudah dibenarkan keluar, menjadikan baki sebanyak 1,345 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 82 hospital di seluruh negara.Dr Mohd Ismail berkata, daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 202 atau 15 peratus disahkan positif H1N1 dengan 42 kes sedang dirawat di ICU.“Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 38 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (15), obesiti (sembilan), diabetes (enam), kanak-kanak/bayi (tiga), hamil/selepas bersalin (tiga) dan sindrom down (dua),” katanya.
~ harian metro, 26 ogos 2009 ~

1MALAYSIA PERLU PERADABAN ELAK UMAT ISLAM TERPINGGIR

TOLERANSI dan kebebasan beragama sering disalah erti sesetengah pihak yang berkepentingan sehingga mencabar imej Islam yang suci.Pelbagai isu sengaja ditimbulkan dengan motif dan tujuan tersendiri, namun semuanya tidak lebih dari sekadar menimbulkan kekeliruan dan kebencian masyarakat.

Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari, Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata ia timbul dalam masyarakat majmuk disebabkan ada pihak sengaja mahu menjadikannya isu.Beliau berkata, sesetengah mempunyai sifat tamak haloba, malah tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki, sedangkan keperluan masing-masing lebih daripada mencukupi.“Orang Islam terlalu defensif, justeru Islam ditentang sebegitu rupa termasuk membabitkan amalan ritual,” katanya dalam forum 1Malaysia Perspektif Peradaban di Kompleks Tun Abdullah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Forum itu membicarakan pelbagai aspek yang berkaitan kepentingan bangsa Malaysia dan masa depan generasi baru, dari sudut agama dan budaya sehinggalah sistem pendidikan, ekonomi dan kuasa politik.Turut mengambil bahagian ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, manakala Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Dr Mohd Yusof Othman sebagai moderator. Dr Ismail berkata, dalam sesetengah kes, Mahkamah Syariah juga dicabar sedangkan ia membabitkan urusan rumah tangga keluarga Islam. “Kami bersetuju orang bukan Islam tidak berhak masuk campur dalam amalan ritual orang Islam seperti dalam penggunaan nama Allah.“Orang Kristian nak amalkan agama, kita biarkan, tetapi jika mereka menggunakan perkataan Allah dalam agama mereka, ia mengelirukan dan berbahaya kepada generasi baru,” katanya.

Sementara itu, Dr Sidek berkata, persepsi orang Kristian dan Yahudi terhadap Islam pada zaman Andalusia lebih baik, malah mereka berasa aman berada di bawah Islam.Menurutnya, suasana ketika itu aman, tetapi pada hari ini umat Islam berdepan cabaran dominasi Barat atas nama pembaratan iaitu penjajahan ilmu dan budaya.Beliau berpendapat, 1Malaysia memerlukan suatu peradaban kerana jika tidak, umat Islam akan terpinggir.“Globalisasi ibarat api yang sedang marak, membakar daun-daun kering. Anak-anak hari ini membesar dalam situasi berbeza, contohnya ke sekolah dengan kereta. “Mentalitinya selesa, tetapi cabaran hari ini berganda,” katanya.

~ harian metro, 25 ogos 2009 ~

PUASA ADAT

AHLAN wasahlan! Begitulah ucapan 'selamat datang' seharusnya diberikan untuk menyambut ketibaan Ramadan al-Mubarak, tidak ubah seperti memuliakan tamu yang sangat dinanti-nantikan.Bagi golongan beriman, kehadiran Ramadan seperti menunggu isteri yang sudah lama tidak bertemu, untuk melepaskan rindu setahun sekali.

Justeru, mereka mengisi kehadiran Ramadan dengan amal ibadat yang banyak berbanding bulan lain seperti solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran dan berzikir.Tapi, bagi sesetengah orang, Ramadan dianggap seperti bulan lain, cumanya bulan itu umat Islam berpuasa, jadi mereka pun turut berpuasa.Perbuatan berpuasa yang mereka lakukan sekadar mengikut orang lain tanpa mahu ambil tahu pahala dan keberkatan berpuasa sepanjang Ramadan.

Bagi golongan ini, berpuasa adalah adat, bukan hukum sedangkan Allah mewajibkan umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan.Kekeliruan itu menyebabkan ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat sebarang pahala puasa, sekadar letih dan dahaga.Persoalannya, adakah berpuasa pada bulan Ramadan itu adat atau hukum?Ramadan semulia-mulia bulan, penuh kerahmatan, keberkatan dan keampunan, malah Allah memberikan ganjaran paling istimewa.

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: "Apabila tiba bulan Ramadan, terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan-tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad).

Ramadan bulan 'festival' bagi umat Islam beramal ibadat. Di samping mengutamakan ibadat fardu, siang berpuasa, malam bersolat sunat Tarawih serta bertadarus al-Quran, berzikir, bersedekah dan iktikaf di masjid.Pendek kata, manifestasi keberkatan, kemuliaan dan keagungan Ramadan dirasai di setiap penjuru dunia."Wahai orang beriman. Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa." (Al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 183)

Puasa adalah ibadat yang difardukan ke atas umat Islam sebagaimana umat terdahulu dan ia satu daripada Rukun Islam. Ia setinggi-tinggi amalan bagi mendekatkan diri kepada Allah. Pelaksanaan ibadat itu bukan saja menandakan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhan, malah menguji keikhlasan dalam amalan.Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, dalam keghairahan beribadat, sesetengah masyarakat Islam manan dan pengharapan akan diampunkan segala dosa-dosanya yang terdahulu."
keliru di antara hukum, iman dan adat, sehingga Ramadan tidak memberikan sebarang pengertian, datang dan berlalu begitu sahaja.Pengisian sebulan Ramadan tidak meninggalkan bekas kepada mereka. Berpuasa dan beribadat tidak lebih sekadar mengikut adat masyarakat turun temurun, manakala iman dan hikmah yang ada padanya tidak dicapai.Nabi Muhammad s.a.w ada mengingatkan persoalan ini dalam sabdanya yang bermaksud: "Berapa ramai orang yang berpuasa mereka tidak mendapat apa-apa balasan melainkan lapar dan dahaga."Rugilah mereka yang berlapar dan dahaga sepanjang hari seperti yang lain, tetapi ibadat puasanya itu tidak diberikan ganjaran.

Menyorot pengimarahan Ramadan dalam masyarakat Islam Malaysia, apakah bentuk amal ibadat mereka seperti puasa, solat sunat Tarawih dan budaya berbelanja benar-benar berkonsepkan hukum dan keimanan atau tidak lebih sekadar adat?

Bekas Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji, Datuk Md Daud Che' Nghah, berkata ramai masyarakat Islam di Malaysia berpuasa mengikut adat, bukannya keimanan.Buktinya, fasa pertama Ramadan mereka memenuhi masjid dan surau tetapi menjelang pertengahan bulan, ia berkurangan jemaah, sehinggalah minggu terakhir, jumlahnya amat ketara."Hiburan pula berlebih-lebihan manakala golongan ulama hanya membiarkan senario itu."Contoh puasa adat lagi ialah berlakunya pembaziran, sedangkan perbuatan membazir itu dilarang dan dikira amalan syaitan."Tetapi yang kita lihat, ramai menyerbu bazar Ramadan membeli beraneka jenis juadah, sedangkan isteri di rumah menyediakan menu, tidak habis dimakan."Saya tidak salahkan bazar Ramadan kerana memudahkan orang berpuasa mendapatkan makanan tetapi bukan untuk tempat membazir," katanya.

Md Daud berkata, orang yang berpuasa mengikut adat tidak sabar menanti 1 Syawal untuk bergembira, malah dada menjadi lapang apabila berakhirnya Ramadan, sedangkan orang beriman menangisi pemergian Ramadan."Saya teringat satu forum perdana di sebuah universiti di Skudai, Johor, yang bertemakan Ramadan kedatanganmu dinanti, pemergianmu ditangisi."Tetapi rakyat Malaysia masih ramai berpuasa menunggu raya. Cuma kali ini tak nampak lagi slogan raya awal dan ini menunjukkan satu perubahan yang baik," katanya.Katanya, pada akhir Ramadan, banyak berlaku kes maut kemalangan jalan raya kerana masing-masing sibuk balik kampung, seolah-olah kena mati dahulu sebelum beraya."Mengapa berebut balik beraya, sampai masing-masing tinggalkan masjid dan surau, malah tinggal puasa."Sepatutnya, pada akhir Ramadan, umat Islam digalakkan kerap meluangkan waktu di masjid dengan iktikaf," katanya.

Berbuka puasa pula katanya, masih ada sesetengah yang tidak mengikut sunnah Nabi s.a.w, iaitu tidak memulakan dengan tamar atau kurma, kerana adatnya dengan menu lain yang lebih enak dan mengenyangkan.Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka puasa dengan beberapa biji buah tamar. Jika kamu tidak mendapat buah tamar, hendaklah berbuka dengan air."Tamar walaupun buahnya tidak setanding dengan yang lain dari segi saiz, khasiatnya dipersetujui pengkaji Timur dan Barat, malah dengan kadar magnesium yang tinggi mampu mencegah kanser. Di sini, terserlah rahsia kebaikan amalan sunnah itu.

Saturday, August 1, 2009

9 SEBAB-SEBAB HATI TIDAK BAHAGIA

Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah :

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak tenang.
2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.
3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.
4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui maknusia
5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut...walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak...lagipun org tamak selalu rugi.. ** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.
6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan..cthnyer time keja banyak..tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja..heh..heh..)
7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin.
8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak..takabbur dgn aper yg kita ada.
9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah.Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Sunday, June 21, 2009

H1N1 DI NEGARA INI MENINGKAT 50 KES

Pihak berkuasa semalam mengumumkan penutupan
Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Jalan Davidson, Kuala Lumpur
selama seminggu sejak Jumaat lalu apabila seorang lagi muridnya
iaitu yang ketiga disahkan positif menghidap wabak H1N1.



KUALA LUMPUR 21 Jun - Satu lagi kes influenza A (H1N1) melibatkan seorang murid perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, di sini disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 kes setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, murid tersebut adalah rakan sekelas kepada kes terdahulu di sekolah berkenaan iaitu di Kelas 5(I), menjadikan pesakit H1N1 di sekolah itu kini tiga orang, dua daripadanya kes penularan tempatan. "Kami akan memantau sekolah itu dari dekat bersama guru-guru dan PIBG," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.

Sebelum itu, murid perempuan kelas yang sama disahkan menghidap penyakit itu pada pukul 6.30 pagi ini. Menurut Tiong Lai, kedua-dua mereka duduk berdekatan (di dalam kelas) dengan murid pertama sekolah itu yang mendapat jangkitan H1N1 selepas melawat Melbourne.

Berikutan itu, beliau mengumumkan penutupan SJKC Jalan Davidson mulai Jumaat lepas sehingga 26 Jun depan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dalam kalangan warga sekolah.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, semua murid, guru dan kakitangan sekolah tersebut perlu berada di rumah masing-masing dan mengelak bergaul dengan orang awam. "Semasa tempoh kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menghadiri kelas tuisyen (bagi murid-murid), melawat tempat awam dan pergi ke majlis keraian. "Semasa berada di dalam rumah, mereka juga dinasihatkan agar mengurangkan pergaulan dengan anggota keluarga lain yang tidak dikenakan arahan kuarantin itu," katanya.

Menurutnya, mereka yang dikenakan arahan kuarantin dikehendaki segera menghubungi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26983757 atau 019-2299397 sekiranya merasa kurang sihat atau demam. Penutupan itu melibatkan kira-kira 2,100 warga sekolah berkenaan termasuk guru, murid dan kakitangan.

Tiong Lai berkata, kementerian turut menyediakan pasukan khas dan ambulans untuk mengendalikan pesakit influenza A. Beliau mengingatkan mereka yang diarah menjalani kuarantin supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Sesiapa yang melanggar peraturan Akta Kawalan Penyakit boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya. "Jangan langgar peraturan ini. Jangan paksa kerajaan guna akta ini untuk dakwa sesiapa," tegasnya.
-Utusan Malaysia, 22 Jun 2009-