Wednesday, September 2, 2009

‘Sidang DUN’ Dalam Hotel....

IPOH: Hari ini genap enam bulan tarikh bersejarah dalam negara apabila Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan di bawah pokok hujan-hujan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.Di bawah pokok itulah 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) berdiri untuk mengadakan sidang tergempar DUN selepas usaha mereka memasuki bangunan SUK menempatkan DUN gagal sambil disaksikan orang ramai.

Semalam, sejarah sama hampir berulang, cuma yang membezakan kali ini ada kemajuan kerana lokasi mereka mengadakan mesyuarat lebih menyerupai persidangan dewan iaitu di Hotel Heritage di sini. Persidangan itu yang dipengerusikan Adun Tronoh yang juga bekas Speaker, S Sivakumar, berlangsung dua jam mulai jam 11.45 pagi dan dihadiri semua 24 Adun PR kecuali tiga Adun yang ditahan polis kira-kira dua jam sebelum mesyuarat itu diadakan kerana mengingkari arahan polis apabila cuba merempuh masuk Bangunan SUK.

Tiga Adun terbabit ialah Adun Sitiawan yang juga Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Ko Ham; Adun Simpang Pulai, Chang Ming Kai dan Adun Malim Nawar, Keshvinder Singh. Sementara Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah tidak dapat hadir kerana mengerjakan umrah.

Ibarat sidang DUN sebenar, persidangan semalam turut menyediakan susunan tempat duduk Adun Barisan Nasional (BN) di sebelah kiri ‘Speaker’ manakala Adun DAP, Pas dan PKR duduk di ‘pihak kerajaan yang memerintah’ di kanan ‘Speaker’.Persidangan berkenaan juga meluluskan tiga usul iaitu mengesahkan laporan ‘Jawatankuasa Hak dan Kebebasan’ bertarikh 27 Julai 2009 dan 12 Ogos 2009, pelantikan anggota bagi tiga jawatankuasa untuk penggal baru iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap.

Satu lagi usul diluluskan ialah usul tergempar mengutuk tindakan polis yang didakwa menggunakan kekerasan menghalang anggota dewan PR memasuki Bangunan SUK bagi mengadakan persidangan itu.Ironinya, pada sidang tergempar di bawah pokok 3 Mac lalu, persidangan turut meluluskan tiga usul iaitu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan usul terakhir mengesahkan keputusan bekas Speaker, Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam anggota Exconya daripada menghadiri persidangan dewan.

Dengan perkembangan terbaru semalam, membuktikan PR enggan berputus asa dan menganggap mereka kekal kerajaan negeri yang sah biarpun Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah memberi perkenan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar yang baru selepas BN mendapat majoriti kerusi untuk mentabdir kerajaan negeri iaitu 31 kerusi berbanding PR hanya 28 kerusi.

Mengulas insiden kekecohan terbaru yang cuba dicetuskan Adun PR dan penyokong mereka di hadapan Bangunan SUK pagi semalam sebelum ‘persidangan dewan’ berkenaan diadakan di hotel terbabit, Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis menahan enam lelaki termasuk tiga Adun PR.“Enam lelaki itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi (semalam) kerana berhimpun secara haram dan tidak mengendahkan amaran Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang beberapa kali meminta mereka bersurai.“Semuanya ditahan bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis. Selain itu, polis turut menahan seorang jurugambar media cetak di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, seorang Adun yang ditahan juga sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan pesakit luar selepas cedera ringan dipercayai akibat terjatuh ketika cuba melawan daripada ditahan. Semua tujuh yang ditahan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 1 Oktober.

No comments:

Post a Comment