Sunday, June 21, 2009

H1N1 DI NEGARA INI MENINGKAT 50 KES

Pihak berkuasa semalam mengumumkan penutupan
Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Jalan Davidson, Kuala Lumpur
selama seminggu sejak Jumaat lalu apabila seorang lagi muridnya
iaitu yang ketiga disahkan positif menghidap wabak H1N1.



KUALA LUMPUR 21 Jun - Satu lagi kes influenza A (H1N1) melibatkan seorang murid perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Davidson, di sini disahkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 kes setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, murid tersebut adalah rakan sekelas kepada kes terdahulu di sekolah berkenaan iaitu di Kelas 5(I), menjadikan pesakit H1N1 di sekolah itu kini tiga orang, dua daripadanya kes penularan tempatan. "Kami akan memantau sekolah itu dari dekat bersama guru-guru dan PIBG," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut di sini hari ini.

Sebelum itu, murid perempuan kelas yang sama disahkan menghidap penyakit itu pada pukul 6.30 pagi ini. Menurut Tiong Lai, kedua-dua mereka duduk berdekatan (di dalam kelas) dengan murid pertama sekolah itu yang mendapat jangkitan H1N1 selepas melawat Melbourne.

Berikutan itu, beliau mengumumkan penutupan SJKC Jalan Davidson mulai Jumaat lepas sehingga 26 Jun depan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu dalam kalangan warga sekolah.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, semua murid, guru dan kakitangan sekolah tersebut perlu berada di rumah masing-masing dan mengelak bergaul dengan orang awam. "Semasa tempoh kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menghadiri kelas tuisyen (bagi murid-murid), melawat tempat awam dan pergi ke majlis keraian. "Semasa berada di dalam rumah, mereka juga dinasihatkan agar mengurangkan pergaulan dengan anggota keluarga lain yang tidak dikenakan arahan kuarantin itu," katanya.

Menurutnya, mereka yang dikenakan arahan kuarantin dikehendaki segera menghubungi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26983757 atau 019-2299397 sekiranya merasa kurang sihat atau demam. Penutupan itu melibatkan kira-kira 2,100 warga sekolah berkenaan termasuk guru, murid dan kakitangan.

Tiong Lai berkata, kementerian turut menyediakan pasukan khas dan ambulans untuk mengendalikan pesakit influenza A. Beliau mengingatkan mereka yang diarah menjalani kuarantin supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.

"Sesiapa yang melanggar peraturan Akta Kawalan Penyakit boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya. "Jangan langgar peraturan ini. Jangan paksa kerajaan guna akta ini untuk dakwa sesiapa," tegasnya.
-Utusan Malaysia, 22 Jun 2009-

Friday, June 19, 2009

TERPEDAYA PAKEJ MURAH UMRAH

KUALA TERENGGANU: Seorang pengarah sebuah syarikat pelancongan berpejabat di ibu negara dikatakan memperoleh keuntungan ‘atas angin’ berjumlah lebih setengah juta ringgit dengan memperdayakan orang ramai, kebanyakannya warga emas yang mahu menunaikan umrah.Dengan menawarkan pakej murah RM3,500 setiap seorang, syarikat berdaftar yang pernah menjalankan urusan menunaikan umrah itu didapati memperdaya seramai 219 individu sekitar Kelantan dan Besut, Terengganu.Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Superintendan Azmi Adam, berkata kegiatan syarikat itu terbongkar selepas ejen mereka, seorang pesara membuat laporan polis apabila ramai bakal jemaah gagal menunaikan umrah seperti dijanjikan.Menurutnya, laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja, Besut selepas ramai yang membuat bayaran kepadanya gagal berangkat ke Tanah Suci sedangkan dia sudah memasukkan wang kutipan berjumlah RM534,000 ke dalam akaun syarikat berkenaan.
“Laporan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi, Rabu lalu selepas beberapa kali perjalanan mereka tertangguh dan kali terakhir dijanjikan menunaikan umrah pada Ramadan ini sedangkan kos dikutip tidak munasabah untuk menunaikan umrah dalam tempoh itu,” katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat dan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan pejabat operasi sebelum menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di Sentul, Kuala Lumpur.“Syarikat itu didapati sebuah syarikat berdaftar, cuma tidak lagi beroperasi di alamat seperti didaftarkan, sebaliknya beroperasi di rumahnya sendiri dan suspek kini direman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Besut selama seminggu bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, polis sudah merampas pelbagai dokumen membabitkan senarai nama mangsa daripada lelaki berkenaan tetapi tiada rampasan membabitkan wang tunai dibuat.“Kami sedang mengumpulkan maklumat berhubung kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sedang berusaha mendapatkan keterangan semua mangsa dalam kejadian itu.“Setakat ini, kami belum menerima laporan kemungkinan suspek turut melakukan kesalahan sama di negeri lain tetapi yang pasti kami belum menerima permohonan daripada polis di negeri lain,” katanya.Harian Metro difahamkan, ejen yang dilantik syarikat berkenaan mendakwa seperti diperalatkan kerana dia seorang dikenali dan dipercayai penduduk tempatan kawasan itu.
-Harian Metro, 19 Jun 2009-

LAMBAIAN PUTERI


KUALA LUMPUR: Amalan sesat dan syirik memuja patung supaya wajah kelihatan jelita setanding artis selain menundukkan lelaki mendorong ramai wanita muda termasuk isteri orang kenamaan (VIP), kini sanggup menjual akidah dengan membeli tangkal azimat Siam dipanggil patung puteri.Tangkal terbabit yang mempunyai fungsi persis minyak dagu atau minyak pengasih bagi golongan lelaki, sebaliknya hanya berkesan jika dipakai wanita dengan niat ‘mengikat’ hati lelaki.Difahamkan, penjualan patung terbabit yang mendapat permintaan tinggi, didalangi beberapa pengamal perubatan tradisional tempatan yang menjadikan ibu negara sebagai pusat transit untuk memasarkan patung kecil berkenaan dengan harga tidak kurang RM600 setiap satu. Wartawan Harian Metro yang menjejaki individu yang membekalkan patung tangkal pengasih berkenaan akhirnya mengatur temu janji di sebuah hotel berhampiran Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini, selepas kira-kira sebulan cuba meyakinkannya.

Wanita tempatan dari Parit Buntar, Perak, berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 40-an, memberitahu dia ke Kuala Lumpur untuk menghantar ‘bekalan’ patung pengasih berkenaan sebanyak dua atau tiga kali sebulan.Dia yang berketurunan Melayu Siam mendakwa menjual patung tangkal sebesar ibu jari berkenaan lengkap dengan rantai pada harga kadangkala melebihi RM600 setiap satu.“Patung ini saya bawa khas melalui seorang kawan di Thailand yang akan menghantarkannya ke sempadan negara setiap kali bekalan saya kehabisan. Tidak setakat patung itu, malah saya turut membawa masuk pelbagai jenis minyak pengasih serta besi pelaris dari negara itu.“Semua benda ini diserahkan kepada saya dalam keadaan ‘kosong’ dan menjadi tugas saya seterusnya untuk menjalankan upacara pemujaan khas di rumah untuk memasukkan ‘isi’ di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, dia yang mempelajari ilmu kedukunan dan mantera Siam daripada arwah ibunya mendakwa akan melakukan pemujaan dalam bilik khas di rumahnya dengan membaca jampi terhadap patung itu pada tiga malam Jumaat berturut-turut.“Bagaimanapun, upacara ini hanya boleh dilakukan selepas wanita yang menempah patung ini memberikan nama penuhnya bagi memastikan nama terbabit digunakan ketika proses puja patung berkenaan.“Patung puteri yang siap ‘diisi’ dengan semangat itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas khas dan dipasang dengan rantai sebelum dijual,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 1,000 tangkal pengasih itu dijual kepada pelanggan terutama di kalangan wanita Melayu.“Pemakaiannya mempunyai pelbagai khasiat istimewa terutama sebagai penambat kasih dan membuat lelaki tergila-gilakan si pemakai.“Lelaki yang memandang si pemakai ini akan sentiasa rindu dan tidak lena tidur akibat teringatkan wajah wanita yang memakainya. Bagi mereka, wanita terbabit yang sebelum ini nampak hodoh di mata bertukar umpama primadona memukau,” katanya.Menurutnya, kehebatan patung puteri itu yang ‘mujarab’ di kalangan pengguna menyebabkan ia laris dan menjadi buruan di kalangan wanita termasuk golongan mak nyah.“Patung Puteri turut menjadi kegilaan pelayan pelanggan (GRO) kelab malam, pelacur, isteri VIP serta perempuan simpanan bertujuan dijadikan pelaris atau mengikat hati suami.“Bagaimanapun, pemakaian tangkal ini turut mempunyai pantang larang berikutan individu yang menggunakannya dilarang berjalan di bawah ampaian baju. Jika pantang ini dilanggar maka ‘khasiat’ patung berkenaan akan lenyap dan pemiliknya perlu memulangkan semula patung berkenaan untuk dijampi semula,” katanya.

Sementara itu, Kak Ani yang mendakwa berjinak dengan dunia pengamal perubatan tradisional sejak 20 tahun lalu, sempat menunjukkan contoh dua Patung Puteri yang akan diserahkan kepada pelanggannya.Pemerhatian mendapati setiap patung terbabit yang berlainan saiz mempunyai bentuk hampir sama iaitu ukiran seorang wanita dengan satu daripada tangannya seolah-olah sedang melambai.“Patung ini ditempah seorang isteri penjawat awam dan seorang perempuan simpanan bagi tujuan yang awak sedia maklum,” katanya.Kak Ani yang ditanya tidakkah perbuatannya itu menjurus kepada syirik memberitahu, dia kerap menasihati pelanggannya supaya membukanya ketika sembahyang.“Saya tidak suruh mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap patung itu sebaliknya menganggap patung itu hanya sebagai alat pengantara untuk menunaikan hajat,” katanya sambil meminta wajahnya tidak didedahkan.
-Harian Metro, 19 Jun 2009-

Wednesday, June 17, 2009

1MALAYSIA BUKAN ASIMILASI

KUALA LUMPUR 15 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan gagasan 1Malaysia adalah amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan bagi digantikan dengan satu identiti nasional baru.
Perdana Menteri berkata, konsep gagasan tersebut juga jauh berbeza daripada konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang yang tidak bertunjangkan kepada Perlembagaan Persekutuan.Sebaliknya, menurut beliau, 1Malaysia secara tersurat dan tersirat kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, 4, 152, 153 dan Bahagian 2 serta 3 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu waktu lalu.“Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.“Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Halimah Mohd. Sadique (BN - Tenggara) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.Sidang Dewan Rakyat hari ini merupakan yang pertama sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri.
Najib memberitahu, formula 1Malaysia akan terlaksana dalam dua aspek utama iaitu penerapan teras-teras perpaduan dan nilai-nilai aspirasi. Teras-teras perpaduan:
*Penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia.
*Prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara
*Keadilan Sosial.
Nilai-nilai aspirasi merangkumi:
*Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab.
*Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan.
*Keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru.
*Meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya
berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.
*Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.
*Ketabahan mengharungi cabaran mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.
Menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) yang mendakwa 1Malaysia ditiru daripada konsep Malaysian Malaysia, Najib menegaskan bahawa kerajaan tidak langsung mencuri idea Malaysian Malaysia sambil menyatakan konsep itu jauh berbeza dengan idea DAP yang tidak berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan.
-Utusan Malaysia, 16 Jun 2009-

PAS KUDA TUNGGANGAN DAP-PKR


Dato' Nik Aziz merenung jauh memikirkan masa depan PAS sebagai kuda Pakatan Rakyat tetapi beliau tidak bersetuju dengan cadangan Presiden PAS untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan UMNO.
****************************************************************
KLANG 14 Jun - Pas sukar untuk menjadi peneraju dalam pakatan pembangkang menyebabkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perkembangan sekarang menyaksikan Pas hanya menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun parti itu mempunyai pengaruh lebih besar berbanding kedua-dua rakan dalam pakatan itu.Tambahnya, Pas sedar jika keadaan tersebut dibiarkan pemimpin dari parti itu tidak akan dilantik sebagai Perdana Menteri jika pakatan tersebut memenangi pilihan raya umum akan datang. ''Kedudukan Pas hanya boleh jadi nombor dua atau tiga dalam pakatan," katanya.Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menyatakan demikian kepada pemberita selepas menutup program Merakyatkan Seni Budaya dan Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Meru di sini hari ini. Namun katanya, UMNO dan Pas perlu meneruskan rundingan berhubung penubuhan kerajaan perpaduan kerana persamaan wujud antara kedua-dua parti.-
Utusan Malaysia, 15 Jun 2009-
*****************************************************************
Kasihan PAS. Sudah terang lagi bersuluh kedudukannya tidak dipedulikan oleh parti gabungannya sendiri, Pakatan Rakyat. Jelas Pakatan Rakyat hanya didominasi oleh PKR dan DAP. Hanya suara-suara dalam PKR dan DAP yang didengari dan diikuti.
Hasrat murni Presiden PAS, Datuk Haji Hadi Awang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO ditentang habis-habisan oleh kedua-dua parti itu. Tujuan suci PAS dan UMNO untuk menyatu padukan umat Melayu ditolak mentah-mentah oleh mereka. Hina sangatkah PAS di mata PKR dan DAP?Melihat kepada senario ini PAS sepatutnya perlu bertindak lebih peka dan agresif. PAS patut keluar dari Pakatan Rakyat. PAS tidak perlu rasa takut dengan PKR dan DAP. Lebih-lebih lagi penyokong PAS sebenarnya adalah lebih ramai berbanding PKR dan DAP.Ayuh PAS, sedarlah dari lena yang panjang ini.
Bersatulah dengan UMNO demi masa depan umat Islam dan orang Melayu. Saya pasti orang-orang UMNO dan rakyat Malaysia umumnya gembira dan menyambut baik cadangan anda untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

TOLONG JANGAN PINJAM DUIT AH LONG LAGI!!!!


Gambar: Utusan Malaysia (3 Jun 2009)

Tindakan ah long (lintah darat atau ceti haram) kini semakin kejam dan di luar batas kemanusiaan. Baru-baru ini salah satu kumpulan ah long telah mengurung dan merantai peminjam seumpama binatang di sebuah bilik kecil serta berdekatan tandas gara-gara peminjam gagal membayar hutang. Sungguh kasihan.
Kegiatan ceti haram ini wajar dibanteras secara habis-habisan oleh pihak berkuasa. Jika tidak dihapuskan mereka semakin lama semakin naik tocang dan seolah-olah tidak berasa gentar dengan undang-undang negara. Tetapi apa yang dikesalkan ialah terdapat segelintir masyarakat kita yang mudah mempercayai ah long dan masih meminjam wang daripada mereka meskipun tahu akan sifat ah long seperti gangster dan mafia apabila marah hutang mereka tidak dibayar. Taukeh dan konco-konconya sanggup bertindak dengan tidak berhati perut, bukan hanya melibatkan peminjam malah kaum keluarga turut menerima tempiasnya. Dinasihatkan kepada masyarakat Malaysia yang terdesak dengan masalah kewangan agar tidak lagi meminjam wang daripada ah long. Seboleh mungkin carilah alternatif lain yang tidak memudaratkan diri dan memberi lebih ketenangan. Sayangilah nyawa anda dan ahli keluarga tersayang.