Tuesday, August 25, 2009

1MALAYSIA PERLU PERADABAN ELAK UMAT ISLAM TERPINGGIR

TOLERANSI dan kebebasan beragama sering disalah erti sesetengah pihak yang berkepentingan sehingga mencabar imej Islam yang suci.Pelbagai isu sengaja ditimbulkan dengan motif dan tujuan tersendiri, namun semuanya tidak lebih dari sekadar menimbulkan kekeliruan dan kebencian masyarakat.

Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari, Datuk Dr Ismail Ibrahim, berkata ia timbul dalam masyarakat majmuk disebabkan ada pihak sengaja mahu menjadikannya isu.Beliau berkata, sesetengah mempunyai sifat tamak haloba, malah tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki, sedangkan keperluan masing-masing lebih daripada mencukupi.“Orang Islam terlalu defensif, justeru Islam ditentang sebegitu rupa termasuk membabitkan amalan ritual,” katanya dalam forum 1Malaysia Perspektif Peradaban di Kompleks Tun Abdullah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Forum itu membicarakan pelbagai aspek yang berkaitan kepentingan bangsa Malaysia dan masa depan generasi baru, dari sudut agama dan budaya sehinggalah sistem pendidikan, ekonomi dan kuasa politik.Turut mengambil bahagian ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, manakala Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Dr Mohd Yusof Othman sebagai moderator. Dr Ismail berkata, dalam sesetengah kes, Mahkamah Syariah juga dicabar sedangkan ia membabitkan urusan rumah tangga keluarga Islam. “Kami bersetuju orang bukan Islam tidak berhak masuk campur dalam amalan ritual orang Islam seperti dalam penggunaan nama Allah.“Orang Kristian nak amalkan agama, kita biarkan, tetapi jika mereka menggunakan perkataan Allah dalam agama mereka, ia mengelirukan dan berbahaya kepada generasi baru,” katanya.

Sementara itu, Dr Sidek berkata, persepsi orang Kristian dan Yahudi terhadap Islam pada zaman Andalusia lebih baik, malah mereka berasa aman berada di bawah Islam.Menurutnya, suasana ketika itu aman, tetapi pada hari ini umat Islam berdepan cabaran dominasi Barat atas nama pembaratan iaitu penjajahan ilmu dan budaya.Beliau berpendapat, 1Malaysia memerlukan suatu peradaban kerana jika tidak, umat Islam akan terpinggir.“Globalisasi ibarat api yang sedang marak, membakar daun-daun kering. Anak-anak hari ini membesar dalam situasi berbeza, contohnya ke sekolah dengan kereta. “Mentalitinya selesa, tetapi cabaran hari ini berganda,” katanya.

~ harian metro, 25 ogos 2009 ~

No comments:

Post a Comment